Siapakah yang dirinya tidak pernah jatuh dalam dosa?
Semua di antara kita pernah jatuh di dalam dosa. Tiada yang maksum antara kita melainkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T sahaja.
Kita? Semua kita pernah berdosa. Baik kita adalah seorang ulama, seorang guru atau siapa saja kita ini, kita pasti pernah tersilap dan melakukan dosa. Kita tidak suci.
Namun, walau sebesar manapun dosa yang kita lakukan, kalau kita ingin kembali dan bersihkan diri kita, maka Allah tidak pernah melihat siapa kita, kedudukan apa kita, keturunan mana kita atau siapa kita.
Kalau kita benar-benar ikhlas ingin kembali dan bersihkan diri, maka kembalilah dan janganlah ditangguh-tangguhkan lagi.
BERKALI-KALI TAUBAT, ADAKAH SAYA MEMPERMAINKAN ALLAH?
Kita ini manusia. Itu perlu diakui. Ada masa-masa kita kuat, ada masa-masa kita lemah. Iman kita ada pasang surutnya, ada turun naiknya. Mungkin bila kita terasa diri kita kuat, maka kita dapat melakukan kebaikan lebih banyak dari biasa. Tetapi, bila kita mula jatuh dalam kelemahan, kita terasa begitu susah sekali untuk melakukan walau satu kebaikan.
Bahkan, kita terasa lebih mudah pula terdorong untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Bukanlah itu keinginan dan kemahuan kita. Jauh di dalam hati kita, kita sebenarnya tidak mahu dan tidak rela untuk melakukan dosa dan kemaksiatan itu.
Tetapi, seringkali, iman kita tertewas dengan nafsu dan pujukan syaitan menyebabkan kita terjatuh dan terjerumus dalam dosa.
Kita tahu kita telah tersilap dan mahu berubah, maka kita bangun dan bertaubat. Kita bersihkan diri, kita istighfar dan minta keampunan dari Allah, di tengah keseorang kita mengalirkan air mata menangisi kesilapan kita kerana telah menjerumuskan diri dalam dosa. Jauh di sudut hati kita berbicara, kita bukanlah sengaja mahu melakukannya. Tetapi, seringkali jiwa kita kalah dengan godaan-godaan dunia menyebabkan kita tidak mampu melawan dan akhirnya kita terjatuh sekali lagi ke dalam lubang kebinasaan.
Kita bertaubat lagi, tetapi untuk kali kedua dan kali yang seterusnya, kita terasa seperti mempermainkan Allah. Kita rasa seolah-olah kita telah mengambil kesempatan terhadap peluang kehidupan dan peluang taubat yang disediakan oleh Allah s.w.t. dengan menggunakannya untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan sekali lagi.
Kadang, rintihan kita terasa tawar rasanya kerana kita seolah-olah merasakan sudah kehilangan keikhlasan dan seperti mempermainkan Allah.
Tetapi, sebenarnya tidaklah begitu.
BAGI HAMBA-NYA ITU ADA TUHAN YANG AKAN MENGAMPUNKAN DOSANYA
Apakah kita sedang mempermainkan Allah?
Kita buat dosa, kemudian kita bertaubat. Selepas itu, kita buat lagi dan bertaubat lagi. Kita ulang lagi, dan bertaubat lagi. Tidakkah itu mempermainkan peluang yang diberikan oleh Allah s.w.t?
Allah s.w.t. ini tidaklah seperti yang kita rasakan. Rahmat dan kasih-Nya itu sangatlah luas. Tidak tertanding oleh apapun. Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang panjang, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Allah itu tidak zalim kepada hamba-Nya. Selagi mana hamba-Nya itu ingin kembali kepada-Nya, maka Dia sentiasa membukakan jalan untuk hamba-Nya. Dia tidak pernah menilai kita ini keturunan apa, bangsa mana, apa kedudukan kita di dalam masyarakat, kita pemimpin atau rakyat jalanan, Allah tetap bersedia menerima diri kita bila-bila masa juga asalkan kita benar-benar ikhlas untuk pulang kepada-Nya.
KATAKANLAH, ALLAH SENTIASA ADA UNTUKMU
Seringkali, rahmat Allah disempitkan oleh manusia-manusia tertentu yang merasakan dirinya lebih hebat dari Tuhan.
“Ala, tak gunalah kau bertaubat.”
“Kau dah buat jahat sampai macam ni sekali. Kemudian kau harap Allah akan ampunkan kau? Jangan mimpilah !”
“Orang macam kau ni, tak layak pun diampunkan !”
Janganlah menyempitkan dada manusia terhadap rahmat dan kasih sayang Allah. Sungguh Allah tidak pernah zalim seperti itu. Allah sentiasa membukakan pintu taubat dan rahmatnya kepada mana-mana jua manusia yang berdosa asalkan manusia itu bertaubat dan membersihkan dirinya dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud :
“Katakanlah : Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Layanlah pendosa seperti mana kita melayan manusia lain juga. Layanlah dia dengan kasih sayang, agar dia nanti melihat bahawa masih ada ruang untuk dia di sisi Allah. Janganlah dengan sebab layanan buruk kita dan hukuman yang kita berikan, menyebabkan dia semakin bergerak menjauhi Allah s.w.t.
PENUTUP : BANGUNLAH MESKI BERKALI-KALI JATUH
Allah tahu segala apa yang ada di jiwa kita. Allah tahu kalau kita ini benar-benar ikhlas ingin membersihkan diri kita, ingin kembali kepada-Nya, maka Allah akan sentiasa ada untuk menyambut kita.
Tinggal lagi, kita sahaja yang ingin bersungguh-sungguh atau tidak.
Betapa luasnya rahmat Allah s.w.t., janganlah kita merasa sempit jika terjatuh dalam dosa. Tetapi, keluasan rahmat Allah ini janganlah sampai kita pula mengambil mudah dengan menjerumuskan diri ke dalam dosa. Tidak. Sepatutnya tidaklah begitu.
Jaga dan berwaspadalah daripada dosa dan kemaksiatan kerana ia dapat membinasakan kita. Sebab itu, bila terjatuh dan terjerumus dalam dosa, cepat-cepatlah kembali kepada Allah s.w.t.
Jatuh lagi, bangun lagi dan kembalilah.
Jatuh lagi? Bangun dan kembalilah. Allah tidak pernah jemu menerima kita sehingga kitalah yang jemu dan malu untuk berbuat dosa dan mengulang-ulang seperti itu.
Teruslah bangun kerana di hadapan ada Allah yang sedia menyambutmu.
No comments:
Post a Comment