Monday, 18 June 2012

dua kata yang berbeza

Hari ini kita berdiri sebagai kanak-kanak, esok kita adalah seorang tua yang sedang menunggu saat kematiannya yang bila-bila saja boleh tiba. Tidak ada siapa yan dapat menduga.
Dulu, kita adalah budak hingusan yang tidak tahu apa-apa. Kemudian, kita membesar menjadi manusia yang tahu pelbagai perkara.
Kehidupan ini memiliki banyak rahsia yang tidak diketahui oleh mana-mana manusia pun melainkan Allah s.w.t. sahaja. Kita mungkin dapat melihat kebaikan tersurat daripada kehidupan ini, tetapi yang tersirat hanya Allah s.w.t. sahaja yang tahu.
Hari ini Allah menguji kita dengan kesenangan dan kemewahan hidup untuk melihat kejujuran kita terhadap Dia. Kita mungkin kata kita beriman dan percaya adanya Tuhan, maka Allah hantarkan ujian untuk menguji akan kebenaran kata kita itu.
Hari ini Allah mungkin menguji kita dengan sedikit kesusahan dan kepayahan sehingga membuatkan kita mengeluh dengan kehidupan ini. Sedikit kesusahan ini kadang-kadang terasa begitu menyempitkan dada sekali sehingga kita merasakan mati adalah lebih baik daripada meneruskan kehidupan.
Tetapi, ingatlah yang kesusahan ini akan berlalu pergi. Kepayahan yang sedang kita tanggung ini akan hilang juga suatu hari nanti. Akan datang juga suatu hari nanti di mana segala kesusahan dan kepayahan ini akan bertiup pergi dan digantikan dengan bayu-bayu ketenangan dan kebahagiaan. Saat itu, bila kita teringatkan semula kesusahan dan kepayahan itu, dan kita bandingkan dengan apa sedang kita nikmati sekarang, maka barulah kita faham kenapa kita didatangkan ujian itu.

KITA, KAU DAN AKU SEMUANYA PUNYA SALAH
Semua orang punya kesalahan masing-masing. Ada dosanya masing-masing. Bezanya hanyalah pada tahap berbuat dosa.
Ada orang mungkin berbuat dosa kerana kejahilannya. Ada orang berbuat dosa dalam keadaan sudah mengetahui dan menyedarinya.
Maka, tidak padanlah kalau kita menghukum semua orang dengan amal yang kita nampak secara zahir itu saja. Kita tidak pernah tahu keadaan hatinya bagaimana.
Barangkali, dia inginkan kepada kebenaran. Cuma tidak ada yang menunjuk dan membimbingnya menyebabkan dia jauh daripada kebenaran dan terjatuh dalam dosa.

BEZAKAN ANTARA SALAH DAN PESALAH
Salah dan pesalah. Bezakan keduanya. Yang salah adalah perbuatan. Pesalah pula adalah orangnya.
Kadang-kadang, saya sangat risau melihat orang begitu mudah menghukum orang yang melakukan dosa ataupun orang yang terjebak dengan dosa dengan hukum neraka.
‘Tak buat ini, dosa !’
‘Tak buat itu, masuk neraka !’
‘Kenapa kau buat benda tu, hah? Kau nak masuk neraka ke?’
Suatu hari, orang yang rajin beribadah ini pergi kepada saudaranya yang bermaksiat itu. Maka ditanya saudaranya itu, “Kenapa kau lakukan maksiat ni, hah? Kau nak masuk neraka ke?”
Jawab saudaranya itu, “Kau tahu mana aku akan masuk neraka?”
Maka dibalas kembali orang itu tadi, “Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam syurga dan akan memasukkan kamu ke dalam neraka kerana maksiat kamu itu.”
Di hari perhitungan, Allah telah campakkan orang yang rajin beribadah itu ke dalam neraka. Saudaranya yang rajin berfoya-foya itu pula Allah masukkan ke dalam syurga.
Kenapa?
Bukankah orang yang rajin beribadah itu selalu taat kepada Allah?
Ya, tetapi dia tidak menunjukkan sifat rahmah Allah kepada temannya yang telah melakukan kesalahan itu. Hukuman yang dia telah katakan pada temannya itu boleh mengakibatkan temannya itu bergerak lebih jauh daripada kebenaran, menyebabkan Allah campakkannya ke dalam neraka walaupun dia seorang yang rajin beribadah.
Kita perlu belajar membezakan antara salah dan pesalah. Memang yang melakukan perbuatan salah itu adalah manusia. Tetapi manusia tetap adalah manusia.
Selagi belum tertutup pintu taubat, selagi belum kiamat, maka dia masih tetap punya hak untuk memperbaiki dirinya dan memperbetulkan kesalahannya. Tidak layak untuk kita menghukum syurga atau neraka pada dirinya, kerana semua itu hanya di bawah pengetahuan Allah. Maka, bagaimana mungkin sesuatu perkara yang ghaib seperti itu kita pula yang boleh tentukan?
Dia adalah manusia. Kita juga adalah manusia.
Dia ada kesilapannya. Kita juga ada kesilapan kita. Sealim atau sehebat manapun ilmu kita, kita tetap tidak layak untuk menghukum orang yang berdosa itu ‘confirm-confirm’ masuk neraka.
Hari ini, mungkin dia berdosa. Hari esok, siapa yang tahu kalau-kalau dia pula yang jadi lebih baik dari kita?
Maka, kalau hendak ditegur dan dikritik, tegur dan kritiklah pada kesalahan yang dilakukannya. Bukan pada pelakunya. Teguran dan kritikan kita mestilah bertujuan untuk memperbetulkan kesalahannya, bukanlah dengan niat menjatuhkan peribadi dan mendedahkan aibnya pula.
Kita tidak pernah tahu balasan yang akan menimpa diri kita di hari muka. Barangkali, di hari muka kita menjadi lebih teruk daripada dia.
Siapakah yang dapat menjangka?

 MAKA, BELAJARLAH BERLAPANG DADA
Antara masalah segelintir orang-orang yang mempelajari ilmu-ilmu  agama, adalah memahaminya hanya secara literal. Kemudian, dengan senang menghukum manusia dengan perasaan.
Tanpa mempertimbangkan kematangan dan logik akal, dengan mudahnya sebahagian orang menghukum orang yang berdosa ‘confirm-confirm’ masuk neraka.
Barangkali dia tidak sedar dirinya juga ada berdosa. Manusia selain Nabi dan Rasul semuanya tidak maksum. Kalaulah semua manusia yang tidak maksum pernah melakukan dosa akan dimasukkan ke neraka, maka tidak ada manusia yang akan masuk syurga kecuali hanya Nabi dan Rasul termasuklah dia juga akan dicampak ke neraka.
Bersederhana dan berlapang dadalah.
mungkin orang itu berbuat dosa dalam keadaan jahilnya dia ataupun dalam keadaan terlupanya dia, maka kita tidak ada hak untuk menghukumnya selain hanya mengingatkan dan memperbetulkan kesalahannya.
Lagipun, syurga dan neraka bukanlah di bawah kekuasaan kita. Bukan tangan-tangan kita yang akan menyampaikan manusia di dalamnya. Itu adalah kerja Allah, dan Allah tahu dan tidak pernah silap dalam memberi hukuman kepada manusia.
Kita tinggalkan saja kerja-kerja menghukum kepada Allah, dan kita lakukan kerja yang sepatutnya kita lakukan.
Antara salah dan pesalah,
Masih tetap ada ruang untuk mereka tetap kembali kepada Allah,
insyallah.


Bangunlah walaupun berkali-kali jatuh

Siapakah yang dirinya tidak pernah jatuh dalam dosa?
Semua di antara kita pernah jatuh di dalam dosa. Tiada yang maksum antara kita melainkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang diutuskan  oleh Allah S.W.T sahaja.
Kita? Semua kita pernah berdosa. Baik kita adalah seorang ulama, seorang guru atau siapa saja kita ini, kita pasti pernah tersilap dan melakukan dosa. Kita tidak suci.
Namun, walau sebesar manapun dosa yang kita lakukan, kalau kita ingin kembali dan bersihkan diri kita, maka Allah tidak pernah melihat siapa kita, kedudukan apa kita, keturunan mana kita atau siapa  kita.
Kalau kita benar-benar ikhlas  ingin kembali dan bersihkan diri, maka kembalilah dan janganlah ditangguh-tangguhkan lagi.

BERKALI-KALI TAUBAT, ADAKAH SAYA MEMPERMAINKAN ALLAH?
Kita ini manusia. Itu perlu diakui. Ada masa-masa kita kuat, ada masa-masa kita lemah. Iman kita ada pasang surutnya, ada turun naiknya. Mungkin bila kita terasa diri kita kuat, maka kita dapat melakukan kebaikan lebih banyak dari biasa. Tetapi, bila kita mula jatuh dalam kelemahan, kita terasa begitu susah sekali untuk melakukan walau satu kebaikan.
Bahkan, kita terasa lebih mudah pula terdorong untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Bukanlah itu keinginan dan kemahuan kita. Jauh di dalam hati kita, kita sebenarnya tidak mahu dan tidak rela untuk melakukan dosa dan kemaksiatan itu.
Tetapi, seringkali, iman kita tertewas dengan nafsu dan pujukan syaitan menyebabkan kita terjatuh dan terjerumus dalam dosa.
Kita tahu kita telah tersilap dan mahu berubah, maka kita bangun dan bertaubat. Kita bersihkan diri, kita istighfar dan minta keampunan dari Allah, di tengah keseorang kita mengalirkan air mata menangisi kesilapan kita kerana telah menjerumuskan diri dalam dosa. Jauh di sudut hati kita berbicara, kita bukanlah sengaja mahu melakukannya. Tetapi, seringkali jiwa kita kalah dengan godaan-godaan dunia menyebabkan kita tidak mampu melawan dan akhirnya kita terjatuh sekali lagi ke dalam lubang kebinasaan.
Kita bertaubat lagi, tetapi untuk kali kedua dan kali yang seterusnya, kita terasa seperti mempermainkan Allah. Kita rasa seolah-olah kita telah mengambil kesempatan terhadap peluang kehidupan dan peluang taubat yang disediakan oleh Allah s.w.t. dengan menggunakannya untuk melakukan kejahatan dan kemaksiatan sekali lagi.
Kadang, rintihan kita terasa tawar rasanya kerana kita seolah-olah merasakan sudah kehilangan keikhlasan dan seperti mempermainkan Allah.
Tetapi, sebenarnya tidaklah begitu.

BAGI HAMBA-NYA ITU ADA TUHAN YANG AKAN MENGAMPUNKAN DOSANYA
Apakah kita sedang mempermainkan Allah?
Kita buat dosa, kemudian kita bertaubat. Selepas itu, kita buat lagi dan bertaubat lagi. Kita ulang lagi, dan bertaubat lagi. Tidakkah itu mempermainkan peluang yang diberikan oleh Allah s.w.t?
Allah s.w.t. ini tidaklah seperti yang kita rasakan. Rahmat dan kasih-Nya itu sangatlah luas. Tidak tertanding oleh apapun. Dalam satu hadis Nabi s.a.w. yang panjang, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. 
[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Allah itu tidak zalim kepada hamba-Nya. Selagi mana hamba-Nya itu ingin kembali kepada-Nya, maka Dia sentiasa membukakan jalan untuk hamba-Nya. Dia tidak pernah menilai kita ini keturunan apa, bangsa mana, apa kedudukan kita di dalam masyarakat, kita pemimpin atau rakyat jalanan, Allah tetap bersedia menerima diri kita bila-bila masa juga asalkan kita benar-benar ikhlas untuk pulang kepada-Nya.

KATAKANLAH, ALLAH SENTIASA ADA UNTUKMU
Seringkali, rahmat Allah disempitkan oleh manusia-manusia tertentu yang merasakan dirinya lebih hebat dari Tuhan.
“Ala, tak gunalah kau bertaubat.”
“Kau dah buat jahat sampai macam ni sekali. Kemudian kau harap Allah akan ampunkan kau? Jangan mimpilah !”
“Orang macam kau ni, tak layak pun diampunkan !”
Janganlah menyempitkan dada manusia terhadap rahmat dan kasih sayang Allah. Sungguh Allah tidak pernah zalim seperti itu. Allah sentiasa membukakan pintu taubat dan rahmatnya kepada mana-mana jua manusia yang berdosa asalkan manusia itu bertaubat dan membersihkan dirinya dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud :
“Katakanlah : Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat),  janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Layanlah pendosa seperti mana kita melayan manusia lain juga. Layanlah dia dengan kasih sayang, agar dia nanti melihat bahawa masih ada ruang untuk dia di sisi Allah. Janganlah dengan sebab layanan buruk kita dan hukuman yang kita berikan, menyebabkan dia semakin bergerak menjauhi Allah s.w.t.

PENUTUP : BANGUNLAH MESKI BERKALI-KALI JATUH
Allah tahu segala apa yang ada di jiwa kita. Allah tahu kalau kita ini benar-benar ikhlas ingin membersihkan diri kita, ingin kembali kepada-Nya, maka Allah akan sentiasa ada untuk menyambut kita.
Tinggal lagi, kita sahaja yang ingin bersungguh-sungguh atau tidak.
Betapa luasnya rahmat Allah s.w.t., janganlah kita merasa sempit jika terjatuh dalam dosa. Tetapi, keluasan rahmat Allah ini janganlah sampai kita pula mengambil mudah dengan menjerumuskan diri ke dalam dosa. Tidak. Sepatutnya tidaklah begitu.
Jaga dan berwaspadalah daripada dosa dan kemaksiatan kerana ia dapat membinasakan kita. Sebab itu, bila terjatuh dan terjerumus dalam dosa, cepat-cepatlah kembali kepada Allah s.w.t.
Jatuh lagi, bangun lagi dan kembalilah.
Jatuh lagi? Bangun dan kembalilah. Allah tidak pernah jemu menerima kita sehingga kitalah yang jemu dan malu untuk berbuat dosa dan mengulang-ulang seperti itu.
Teruslah bangun kerana di hadapan ada Allah yang sedia menyambutmu.